Sekalung Penghargaan

Bersyukur kehadrat illahi kerana dengan izin dan limpah kurnianya, saya telah dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Koperat, Ikon Usahawan MARA peringkat Wilayah Persekutuan 2016 dan Anugerah Personaliti Industri & Usahawan Malaysia NIAGATIMES 2016. Pertama sekali, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Bumiputra Berhad (PUNB) dan Malayan Banking Berhad (MAYBANK) kerana membimbing, mendidik serta menyokong AERO LINE dalam memberi bantuan kewangan dan nasihat dari tahun 2007 sehinggalah sekarang.

Sesungguhnya tanpa sokongan dan dorongan MARA, PUNB dan MAYBANK, sukar untuk saya mencapai prestatsi perniagaan hingga ke tahap ini. Didikan dari guru-guru terpilih, bantuan pembiayaan pelajaran MARA dalam bentuk biasiswa dari peringkat sekolah menengah dan matrikulasi serta pegawai-pegawai MARA, PUNB dan MAYBANK yang berdedikasi, telah membuka laluan kejayaan dalam diri saya serta rakan-rakan seperjuangan ke arah satu kehidupan yang lebih baik.  Tidak juga dilupakan sokongan moral dari keluarga, rakan karib serta kepercayaan yang di beri oleh pelanggan-pelanggan syarikat, menjadikan saya lebih bersemangat untuk memperjuangkan martabat bangsa melayu dalam dunia perniagaan disamping dapat mewujudkan usahawan-usahawan baru, peluang perkerjaan dan berkongsi rezeki kepada hampir 400 orang sehingga tahun 2017 di bawah naungan dan jenama AERO LINE.

Sekalung penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada semua warga kerja MARA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Perbadanan Usahawan Bumiputra Nasional (PUNB) dan Malayan Banking Berhad (MAYBANK) kerana tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar dalam memastikan usahawan seperti saya terus maju dan berjaya sehingga mencapai anugerah yang tidak pernah dimimpikan di bawah PROGRAM SEMARAK USAHAWAN MARA TAHUN 2016 DAN ANUGERAH PERSONALITI INDUSTRI & USAHAWAN MALAYSIA NIAGATIMES 2016. Saya berasa amat terharu serta bangga dengan usaha dan inisiatif pihak MARA, PUNB & MAYBANK dalam mencari dan melahirkan usahawan bumiputra yang hebat untuk berada setanding dengan bangsa lain di dunia.  Bak kata pepatah Melayu “Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya” begitulah juga semua usahawan harus berdisiplin dan berusaha untuk mencapai kejayaan.

Harapan saya agar segala program dan usaha MARA, PUNB & MAYBANK dapat memberikan inspirasi untuk terus berusaha dan maju ke depan menggunakan landasan yang disediakan oleh KERAJAAN MALAYSIA. Sesungguhnya budi dan jasa MARA, PUNB & MAYBANK akan dikenang sehingga ke akhir hayat. Hanya ALLAH sahaja yang mampu membalasnya dan semoga MARA, PUNB & MAYBANK terus menjadi “PENERAJU TRANSFORMASI BANGSA”.

Akhir kata, sekalung tahniah dan jutaan terima kasih kepada MARA, PUNB & MAYBANK. Budi dan jasa mereka amat saya hargai.

Inang Inang Padi Pak Dalik,

Padi Tak Sama Rupa Bunganya,

Sungguh Ku Kenang Budi Mara, PUNB, MAYBANK Yang Baik,

Tidak Ku Lupa Selama-Lamanya

 

Sekian terima kasih,

ZAMRI BIN KHAMIS
PENGARAH URUSAN
AERO LINE SERVICES SDN BHD